INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA
Pengenalan
Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang
penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Industri pelancongan
merupakan salah satu punca pendapatan negara yang diperoleh melalui pengaliran
masuk wang asing. Malaysia juga terkenal dengan destinasi hub halal dan menjadi
tumpuan pelancong asing terutamanya Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Industri pelancongan Malaysia merekodkan purata kemasukan pelancong asing
sebanyak 2 juta setahun. Ianya dilihat semakin
berkembang hasil penglibatan semua pihak sama ada secara lansung atau pun tidak
lansung. Hal ini menyebabkan industri pelancongan di negara
ini semakin berkembang dan pesat yang dimana telah membantu meningkatkan lagi
pertumbuhan ekonomi negara. Pelancongan mempunyai pelbagai maksud mengikut
perspektif dan pandangan pihak - pihak yang terlibat sama ada secara langsung
ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah pelancong
itu sendiri, organisasi penginapan dan pengangkutan, organisasi pendidikan,
pihak kerajaan dan sebagainya lagi. Perkataan tourism datang daripada perkataan
Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan
dalam suatu bulatan. Pada awalnya, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan
sebagai, “Suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi
mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka,
dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya,
ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang meluas ini sukar difahami kerana ia
tidak menjelaskan secara mendalam apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan dan
apakah faktor-faktor yang terlibat dalam membangunkan industri ini. Oleh itu,
wujud definisi lain yang cuba memberi penjelasan secara mendalam mengenai
pelancongan. Sebagai contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai,
“Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas,
elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan
persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri
pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara
bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu
hari.” Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi
pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat
dalam industri pelancongan secara khususnya.
Tahap
Pembangunan Industri Pelancongan
Teras keseluruhan dasar dalam sektor pelancongan ialah
untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang mampan bagi merealisasikan potensi
pekerjaan yang banyak dan meningkatkan pendapatan di tahap negara, negeri dan
kawasan tempatan. Menurut Rina Ilyana (2007), penglibatan penduduk tempatan
dalam aktiviti pelancongan dapat memberikan pelbagai impak positif kepada
mereka. Buhalis (2003) pula menegaskan
bahawa penglibatan pendapatan penduduk tempatan dalam aktiviti
pelancongan dapat membantu mereka meningkatkan lagi taraf ekonomi, sosial dan
budaya. Satu pendekatan holistik dan bersepadu yang memberi pengaruh keatas
inovasi tarikan pelancong, layanan baik, sopan-santun dan kesedaran sivik orang
awam dan juga sokongan dari Kerajaan adalah amat perlu untuk menaikkan industri
pelancongan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.
Program utama yang dilaksanakan termasuk pengekalan dan pemuliharaan
tempat bersejarah, peruntukan dan menaiktaraf infrastruktur berkaitan
pelancongan dan juga peningkatan kualiti produk pelancongan dan perkhidmatan. Pembangunan produk di kawasan ceruk rantau
akan terus diberi penekanan berdasarkan keperluan pasaran sasaran dan kekuatan
relatif dan perbandingan faedah di pelbagai negeri. Pembangunan pelancongan domestik akan kekal sebagai satu
keutamaan penting dan akan di promosikan secara aktif.
Kepentingan Dan Sumbangan
Industri Pelancongan
Sektor pelancongan telah memainkan peranan yang penting
dalam perkembangan ekonomi dan menjana pendapatan negara. Ia merupakan salah
satu daripada peneraju ekonomi negara dan merupakan punca pertukaran wang asing
Negara. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara
mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini
dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang
asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai
perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga
mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata
wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan
dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan
dari luar negara.
Selain itu, sektor pelancongan juga dapat memajukan
bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke
Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan
pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong
asing juga amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan
barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati
makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa
dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga
boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara
terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama
yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi
terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan
tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas
hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi
pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap
secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di
rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian,
makanan tradisional dan sebagainya.
Industri pelancongan juga turut memberi sumbangan kepada
sistem pengangkutan awam di Malaysia. Ini kerana pelancong juga memerlukan
perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi
yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi,
van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan.
Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa juga dapat
meningkatkan sektor pelancongan di Negara ini. Dengan penganjuran sukan ini
ianya secara tidak lansung dapat memperkenalkan negara Malaysia ke Negara –
Negara luar. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar
Sepang dan Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam
kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita
mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan
pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan
keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa
tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh
dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke
seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf
dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan
dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang
minima.
Halangan Dan Cabaran
Terdapat pelbagai isu dan cabaran dalam membangunkan industri
pelancongan di negara ini. Strategi harus dirancang bagi mengenalpasti halangan
serta cabaran yang terdapat dalam membangunkan pelancongan ini. Antara yang menjadi
cabaran dalam membangunkan industri pelancongan ini ialah isu keaslian warisan
budaya. Perkembangan industri pelancongan ini adakala membawa kesan buruk
kepada kedudukan warisan tradisi. Pihak pengusaha selalu menimbangkan
kepentingan ekonomi tanpa meneliti kesan jangka panjangnya. Pengusaha selalu
mengubah dan menyesuaikan sesuatu unsur tradisi itu mengikut kemahuan mereka
sehingga tidak ada lagi keasliannya dalam unsur itu. Sebagai contoh, dapat
diperhatikan tarian-tarian Melayu asli telah banyak disesuaikan dengan kehendak
moden, dilakukan perubahan secara sewenang-wenang sehingga tidak wujud sifat
aslinya. Keadaan ini boleh melenyapkan keaslian sesuatu unsur itu dan diganti
dengan sesuatu yang baru. Generasi akan datang menghadapi masalah untuk
mengesan dan memahami unsur-unsur budaya asli yang boleh menyatakan identiti
masyarakat dan budaya Melayu.
Isu bahasa juga menjadi sesuatu yang perlu
dititikberatkan. Ini kerana lazimnya Kelantan dan Terengganu mempunyai dialek
yang berbeza berbanding bahasa standard Melayu, Justeru itu, masalah bahasa
mengundang kerumitan kepada pelancong, tidak kira pelancong domestik atau
pelancong asing. Penggunaan dialek yang berbeza menyukarkan pertukaran maklumat
antara penduduk setempat dengan pelancong. Didapati masalah ini ketara dalam
kalangan pemandu pelancong yang dikatakan kurang fasih dalam Bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris. Batasan bahasa sebenarnya membesarkan jurang mendapatkan
maklumat destinasi.
Isu seterusnya ialah isu kemudahan jaringan dan
pengangkutan. Para pelancong sebenarnya lebih gemar menggunakan kemudahan awam
untuk membawa bergerak ke destinasi yang diingini. Namun begitu penyediaan
kemudahan pengangkutan di negara ini masih berada di tahap yang sederhana. Keefisyenan
sistem pengangkutan sering kali menjadi isu dalam pembangunan pelancongan.
Sesuatu kawasan pelancongan yang maju itu memerlukan jaringan pengangkutan yang
baik dan mudah dikunjungi. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat
sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara
dan lain-lain destinasi di pedalaman. Pengangkutan teksi juga dikatakan mengenakan
bayaran yang agak mahal. Ini akan menyebabkan tanggapan negatif pelancong
terutamanya dari luar negara yang menggunakan pengangkutan awam di negara ini.
Tragedi yang menimpa dua pesawat Malaysia Airlines System (MAS) MH370 dan MH17 baru
– baru ini juga bukan sahaja telah memburukkan imej MAS tetapi turut memberi kesan buruk kepada industri
pelancongan di negara serta ekonomi negara dan rakyat. Memang benar, bagi
kedua-dua kejadian, pihak MAS tidak bersalah. Tragedi itu tiada kena mengena
dengan kegagalan, kelemahan atau ketidakcekapan pihak pengurusan dan pekerja
MAS. Namun ianya tetap memberikan impak kepada kedatangan pelancong luar ke
negara ini.
Antara cabaran lain yang dihadapi termasuklah
persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini kerana bukan
negara kita sahaja malahan negara-negara
yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap
sesebuah negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara
mereka dan kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama
pelancong. Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik
para pelancong ke negara kita.
Di
samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor
pelancongan di negara kita pada masa kini. Hal ini disebabkan, pencemaran alam
sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak
bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat yang telah merosakkan kecantikkan
alam sekeliling kita. Negara kita yang terkenal mempunyai alam sekeliling yang
cantik telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita
selama ini. Jika pencemaran alam sekitar terus menjadi lebih buruk, sektor
pelancongan di negara kita pasti akan terjejas kerana pelancong-pelancong
hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor
serta busuk.
Sokongan Pihak Kerajaan Dan
Swasta Terhadap Industri Pelancongan
Usaha promosi yang berkesan oleh pihak kerajaan dan
swasta menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan
industri pelancongan di Malaysia terus mendapat sambutan. Antara langkah yang telah
diambil ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Pelbagai usaha
telah diadakan antaranya ialah seperti Tahun Melawat Malaysia. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan
pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang
diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat
pelancong datang ke negara ini. Kementerian Pelancongan turut
mengadakan kempen ini di dalam dan di luar negara. Pusat-pusat penerangan
pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara juga
turut ditambah bagi menggalakkan lagi industri pelancongan Malaysia. Ini
bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat
berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Pelancong dalam negara juga
turut ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media
ataupun risalah. Misalnya, pelbagai
acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan
pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini
lagi.
Pihak kerajaan juga telah memperuntukan dana bagi
memastikan progam – program dapat berjalan dengan lancar seperti yang telah
dirancang. Antara program yang telah dirancang adalah seperti Festival Layang –
Layang Dunia, Pesta Air, Floria Putrajaya dan sebagainya. Usaha pemasaran dan
promosi diperkemaskan agar nama Malaysia sentiasa menjadi destinasi percutian
pilihan utama. Kerajaan juga telah menggerakkan
semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar
dengan pembangunan negara yang pantas.
Seterusnya, penganjuran pelbagai acara antarabangsa
seperti penganjuran Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan
seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat
antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada
beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di
Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara
antarabangsa memang sudah terbukti kejayaannya. Acara antarabangsa ini
hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan sebagai acara tahunan.
Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjungi negara ini bukan sahaja
untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat
ke tempat-tempat menarik di negara kita. Ianya secara tidak lansung dapat
meningkatkan promosi pelancongan di Malaysia.
Selain itu, kerajaan juga boleh mengurangkan cukai belian
barangan. Hal ini perlu bagi membolehkan pelancong asing dapat membeli belah di
Malaysia dengan pembelajaan yang sederhana. Sebagai contoh, Pulau Langkawi
merupakan pulau bebas cukai yang menjadi destinasi pelbagai peancong dari dalam
mahupun luar negara. Di sana, mereka dapat membeli cenderahati, pinggan
mangkuk, kraftangan, dan coklat untuk di bawa pulang. Dengan itu, pendapatan
penduduk setempat juga akan bertambah dapat meningkatkan lagi taraf hidup
masing-masing.
Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu
diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di
negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan segelintir masyarakat yang
mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong yang
ditubuhkan oleh kerajaan sudah tentu dapat membantu pihak polis menangani
jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan,
menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu
dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini disamping
memelihara imej negara. Selain badan-badan
kerajaan, pihak swasta juga harus memikul tanggungjawab untuk mempromosikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif. Hotel-hotel, syarikat
penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk
menjayakan kempen ini.
Langkah – Langkah
Membangunkan IKS Luar Bandar
Terdapat pelbagai usaha yang dapat dilakukan untuk
meningkatkan Industri Kecil Sederhana berkaitan industri pelancongan di
Malaysia. Antara langkah yang dapat diambil
ialah pihak kerajaan bagi memperkenalkan produk IKS Luar Bandar ialah dengan
membantu mempromosikan produk keluaran IKS. Salah
satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya
penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak
didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu
Produk’. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat sos
tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain lagi. Pengusaha kilang dapat
menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta
pengunjung-pengunjung yang lain. Banyak
produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit.
Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap
desa dengan lebih banyak. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim
buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya yang
kebiasaannya diusahakan di luar bandar. Selain itu, produk – produk kraftangan
buatan penduduk setempat juga biasanya menarik minat pelancong dari luar
negara. Di kampung-kampung, ramai yang mengusahakan kraftangan yang cantik dan
berjaya memikat pelancong asing. Di samping itu juga,
penyertaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutamanya oleh masyarakat luar
bandar seperti pembuatan kerepek dan kuih mampu menerima tempahan dan pasaran
yang menggalakkan sepanjang tahun. Ini membuktikan bahawa banyak kemudahan yang
diberikan oleh kerajaan kepada IKS mampu membantu penduduk menambah pendapatan
isi rumah mereka. Kuih – kuih
tradisional yang banyak diusahakan oleh pengusaha industri kecil sederhana juga
boleh dijual kepada pelancong luar yang minat dengan citarasa kuih tradisional
yang telah terbukti kesedapannya. Ini sekaligus dapat meningkatkan lagi
pendapatan mereka dengan menjual produk hasil tangan mereka. Justeru itu, produk
pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong
mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di
negara mereka. Kita juga harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan
negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan.
Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat
luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan
produk pelancongan baru terutamanya di luar bandar adalah satu usaha yang baik
bagi meningkatkan sektor berkenaan
pelancongan terutamanya di luar bandar.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat
dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara
kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk
membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang
hebat. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara
ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong
tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit
akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terhebat. Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival
pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang
berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam
karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah
tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan
masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan
pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa.
Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah
diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika.
Sebagai contoh karnival wajar boleh diadakan di Negara – Negara eropah untuk
menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan
negara kita. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar
negara sudah tentu merupakan langkah yang berkesan dalam mempromosikan negara
kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Rujukan
Abdul Hakim Bin Rahmat. (Mac 2002). Kesan Perkembangan Pelancongan Terhadap Ekonomi Pulau Tioman, Rompin,
Pahang. Universiti Teknologi Mara
Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia. Laman
web rasmi http://www.motour.gov.my
Nur Atiqah Kamarus Zaman, Habibah Ahmad, Nur Amirah
Kamarus Zaman, Er Ah Choy, Hamzah Jusoh, Zaini Sakawi, Amriah Buang. (2014). Tahap Penglibatan Penduduk Dalam Pembangunan
Pelancongan Putrajaya. Universiti Kebangsaan Malaysia
Riya ilyana zainal. (2007). Meninjau Penglibatan Penduduk Tempatan Dalam Aktiviti Pelancongan.
Universiti Teknologi Malaysia
Utusan Malaysia online. Diakses dari http://ww1.utusan.com.my/utusan
No comments:
Post a Comment